Sunday, April 25, 2010

50,000 palsu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro. com.my

KUALA LUMPUR : Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran-retoran yang disangka milik pengusaha India Muslim berikutan siasatan pihak berkuasa mendapati ayat-ayat al qur'an yang diletakkan dalam premis-premis perniagaan berkenaan adalah semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.

Bahkan pekerja-pekerjanya juga bukanlah muslim walaupun pekerja-pekerja itu setiap masa bersongkok. Apa yang mereka lakukan hanyalah semata-mata untuk menarik orang-orang Islam makan d restoran dengan anggapan restoran itu milik pengusaha India Muslim dan pekerja-pekerjanya beragama Islam.


Dalam satu serbuan baru-baru ini, pekerja-pekerja restoran itu diminta membaca ayat-ayat al qur'an, tetapi seorang pun tidak tahu membacanya. Oleh itu hati-hatilah ya sebelum menjamu selera.

Apatah lagi berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara.

Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.

Menurutnya, sijil halal tidak sah laku itu jauh berbeza dengan sijil halal Jakim yang kini dikeluarkan HDC berikutan ia tidak dipantau atau dikawal selia mengikut garis panduan sepatutnya.

“Pihak yang mengedarkan sijil berkenaan hanya memikirkan keuntungan apabila menjual sijil halal itu tanpa memikirkan sama ada pemilik restoran mematuhi syarat piawaian pensijilan yang harus dipatuhi.

“Sebagai contoh, premis makanan yang memiliki sijil halal seharusnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging daripada syarikat pembekal yang turut memperoleh sijil halal sah dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim atau HDC. Selain itu, pihak premis makanan perlu memastikan tiada bahan masakan yang diragui digunakan selain memastikan aspek kebersihan dijaga,” katanya.

Malangnya, pihak yang mengeluarkan sijil halal sama seperti sijil Jakim atau HDC ini lepas tangan dan tidak pernah melakukan pemantauan berkala.

“Akibatnya ada restoran atau premis makanan ini yang memiliki sijil halal palsu menggunakan bahan masakan diragui halal serta pekerja bukan Islam untuk melakukan tugas memasak selain mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.

Jurucakap itu berkata, kelulusan memperoleh sijil halal HDC proses penuh teliti berikutan pemeriksaan mengikut prosedur akan dilakukan auditor syariah dan auditor teknikal (teknologi makanan) bagi memastikan premis terbabit benar-benar layak memiliki sijil halal berkenaan.